Friday 13 September 2013

Rahsia Allah - Siapa Kita Untuk Mempersoalkannya

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pengunjung blog yang dirahmati,

Bismillah

Hari ini terjumpa kata-kata yang dikongsikan oleh seorang penulis Muslimah yang juga merangkap mentor penulisan saya. Mahu kenali dia? Boleh KLIK sini.




Suka sangat apabila terbaca kata-kata ini. Itulah sifat manusia yang selalu lupa dan tidak sedar hakikat sebenar di sebalik sesuatu.

Setiap perkara yang berlaku adalah hanya dengan izin Allah. Maka lihatlah 'pemberi' peristiwa itu bukannya peristiwa itu sendiri.

Soalan berkenaan jodoh ni memang selalu didengari, tambahan bagi mereka yang dah mula menginjak usianya ke lewat 20-an apatah lagi mereka yang sudah menjengah ke 30-an.


Soalan-soalan yang seringkali didengar adalah,

"Bila nak kahwin?"

"Bila nak rasa nasi minyak ni?"

"Kawan-kawan semua dah kahwin, dah ada anak, awak tu bila lagi?"

Dan banyak lagi. Bila dah kahwin, sibuk pula bertanya bila nak dapat anak? 


Saya sendiri juga dulu seperti ini, jumpa kawan-kawan...inilah antara soalan yang ingin ditanya....tapi itu dah 4-5 tahun lepas. Waktu itu, umur saya dan kawan-kawan sekitar 23, 24 atau 25 tahun. Baru habis belajar dan masing-masing sudah mula bekerjaya.

Jadi, soalan seterusnya pastinya pasal kahwin....

Jika 4-5 tahun lepas ditanya bila nak kahwin, tidak terasa sangat sebab masih muda. Tetapi apabila sudah mencecah lewat 20-an ini, hati mana yang tidak tersentuh apabila disoal tentang jodoh. Hati mana yang tidak terdetik apabila melihat rakan-rakan seperjuangan di sekolah dan universiti memuat turun gambar umat Muhammad yang baru dilahirkan di Facebook dengan wajah ceria sebagai ibu dan ayah yang baru menimang cahaya mata.

Pasti hati-hati ini ingin berkahwin dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW. Bahkan sudah menjadi fitrah kurniaan Allah kepada manusia untuk hidup berteman dan berpasangan.


Dalam soal anak begitu juga...sudah tentu pasangan yang diijabkabul ingin mendapatkan zuriat, ingin melahirkan umat Muhammad sebagai pencen kubur mereka nanti.

Usahlah disoal...

Sudahlah mereka ini diuji Allah agar bersabar dalam menemukan jodoh atau mendapatkan zuriat...masyarakat pula ingin menambah kesedihan mereka dengan soalan yang tiada manusia mampu menjawabnya, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui.


Peringatan buat diri ini juga, ayuhlah kita berhenti menjadi 'kepohci' kepada urusan-urusan yang diluar pengetahuan manusia. Sudah-sudahlah dan berhenti bertanya soalan-soalan berkenaan jodoh dan anak ini.

Bak kata Prof Dr Muhaya, jadilah kita manusia yang apabila bercakap hanya keluar perkataan yang manis didengar oleh orang lain. Jadilah kita seperti matahari yang memberi sinaran kepada orang di sekeliling kita. Jadilah kita manusia yang apabila orang bertemu dengan kita mereka merasa lebih bersemangat dan gembira, bukannya menyampah.


Lebihkan melihat diri sendiri, maka kita tak sempat nak melihat hal orang lain...:-)


Jika setuju dengan hasil penulisan saya kali ini, mohon komen dan SHARE kepada kawan-kawan yang lain....:-)